[VIDEO] Lima suspek kes tipu bakal jemaah haji direman

Suspek dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Isnin selepas mendapat perintah reman.
Suspek dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Isnin selepas mendapat perintah reman.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Lima individu direman selama tiga hari bagi membantu siasatan selepas dipercayai terbabit dengan kejadian 400 jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada, 7 Julai lalu.

Perintah reman bermula Isnin itu dibenarkan Majistret Mohd Zulhilmi Ibrahim selepas permohonan dibuat Polis Johor.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, lima individu itu direman tiga hari bagi membantu siasatan kes penipuan pakej haji yang ditawarkan sebuah agensi pelancongan.

"Setakat ini Polis Johor sudah menerima empat laporan membabitkan bakal jemaah haji yang terpedaya dengan tawaran visa furada sebuah agensi pelancongan.

"Kita akan siasat dahulu kes ini dengan terperinci sebelum berkongsi maklumat lanjut nanti," katanya ketika dihubungi, pada Isnin.

Pada 9 Julai lalu, polis menahan lima individu termasuk pemilik sebuah agensi pelancongan yang dipercayai terlibat dalam kes penipuan pakej haji tersebut.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, dua lelaki dan tiga wanita berusia 30 hingga 60 tahun itu ditahan dalam serbuan di ibu negara kira-kira jam 9 malam Ahad.

Lima individu yang ditahan itu membabitkan pemilik agensi pelancongan berkenaan serta isterinya, seorang ejen serta dua pekerja di agensi terbabit yang terletak di Danau Kota.

Pada 10 Julai lalu, lima individu terbabit juga sudah direman selama tiga hari, di Selangor.

Ketua Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, kesemua laporan polis itu membabitkan penipuan pakej haji oleh dua agensi pelancongan dengan kerugian keseluruhan mencecah RM2.37 juta.

Sebanyak 25 laporan polis diterima di Selangor membabitkan kerugian berjumlah RM620,000, manakala 23 lagi laporan polis diterima di Kuala Lumpur membabitkan kerugian RM766,500.

Empat lagi laporan polis diterima di negeri Pahang membabitkan kerugian berjumlah RM874,000. Laporan polis juga diterima masing-masing satu di Pulau Pinang (RM32,000), Perak (RM25,000), Negeri Sembilan (RM16,000), Terengganu (RM38,000) serta satu laporan di negeri ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!